Selalu Gatal Kepala, 9 Petua Tradisional Mujarab Untuk Hilangkan Kelemumur

Kelemumur atau nama saintifiknya pityriasis capitis adalah satu fenomena biasa yang dialami oleh 50 peratus daripada populasi manusia dan dialami oleh pelbagai latar belakang masyarakat.

Ia berlaku bila seseorang itu mengalami pertukaran kulit kepala baru dua kali lebih pantas dari yang sepatutnya. Jangka masa normal untuk kulit kepala bertukar kulit baru adalah 28 hari.

Tapi untuk sesetengah orang, dia hanya memerlukan 11 hari sahaja untuk kulit kepalanya bertukar baru. Jadi, belum sempat kulit yang lama habis mengelupas, kulit yang baru pula mengelupas. Inilah punca utama terjadinya kelemumur.

Punca lain pula adalah kerana pertumbuhan kulat jenis Pitirosporum Ovale yang biasa terdapat pada kulit kepala. Penghasilan sebum (minyak semula jadi) yang berlebihan juga punca utama kulat ni semakin aktif tumbuh. Sebab lain adalah disebabkan perubahan hormon selepas mencapai usia akil baligh dan kulit kepala yang terlalu berminyak.

Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada pembentukan kelemumur ialah:-

-Jarang bersyampu atau tidak membilas rambut dengan sempurna
-Penggunaan penyembur rambut atau gel yang terlalu kerap
-Penggunaan pewarna rambut yang tidak betul
-Tekanan perasaan
-Daya imuniti yang rendah

Ada cara paling mudah untuk menghilangkan kelemumur dan juga mengelakkan kelemumur daripada datang kembali tanpa menggunakan syampu.

Berikut disenaraikan 9 petua tradisional yang boleh dicuba. InshaAllah dengan kuasa Allah, kelemumur akan hilang.

Petua 1:

Basahkan kepala dengan santan kelapa. Pastikan santan itu rata di seluruh kepala. Biarkan seketika. Kemudian cucilah kepala dengan syampu yang sesuai. Amalkan selalu, anda akan dapati rambut anda akan kembali berkilat serta kelemumur akan hilang. InshaAllah.

Petua 2:

Ambil limau nipis kemudian belah dua. Ramas hingga mengeluarkan air. Ini dilakukan di atas kepala anda. Lakukan sekerap mungkin dan lakukan selepas anda bersyampu. InshaAllah ia sangat mujarab dan rambut anda akan sentiasa berbau harum.

Petua 3:

Ambil 10 biji belimbing bulu, cincang halus-halus dan campurkan secawan kecil santan. Sapukan rata-rata pada kepala dan rambut hingga campuran itu habis. Balut kepala dengan tuala dan biarkan seketika. Setelah itu bilas dengan air bersih. Amalkan seminggu sekali. InshaAllah, kelemumur akan hilang dan rambut akan kembali segar.

Petua 4:

Ambil beberapa helai daun nangka dan daun durian, masukkan ke dalam mangkuk atau gayung. Masukkan air dan ramas daun-daun tersebut. Gunakan air ramasan sebagai syampu. Amalkan selalu.

Petua 5:

Ambil 10 helai daun pandan lalu ditumbuk hingga lumat. Campurkan dengan dua gelas air. Selepas itu, ditapis lalu usaplah air tadi ke kepala anda yang ada kelemumur. Lalu bilas dengan air biasa.

Petua 6:

Ambil segenggam jerami padi dan dibakar hangus dicampurkan dengan semangkuk santan cair dan jus limau nipis dari sebiji limau nipis. Campur kesemua bahan ini dan sapukan rata-rata di kepala anda. Bungkus rambut dengan tuala kira-kira 30 minit. Kemudian cucilah rambut seperti biasa dengan syampu.

*Untuk kelemumur yang agak serius, lakukan dua kali seminggu selama 2 minggu. Kemudian sebulan sekali.

Petua 7 :

Kisar tiga batang serai bersama dua biji limau nipis hingga lumat. Kemudian tapis dan ambil patinya. Sapu pada seluruh rambut seperti menggunakan syampu. Gosok rata-rata dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air biasa hingga bersih. Amalkan dua kali seminggu.

Petua 8 :

Rendam halba dan kacang hijau selama setengah jam. Kemudian tumbuk sehingga hancur. Campurkan ke dalam secawan santan pekat dan sapukan pada rambut. Biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Lakukan dua kali seminggu.

Petua 9:

Ambil beberapa biji buah mengkudu masak, basuh dan tumbuk sehingga hancur. Kemudian, disapu pada kepala sambil digosok-gosok. Amalkan seminggu dua (2) kali sebelum mandi.

Artikel Berkaitan: Ini Rahsianya Kenapa Perempuan Jepun Tidak Gemuk dan Panjang Umur

Advertisements