Teman Anda Berlainan Kaum dan Agama, Baca 5 Perkara Penting Dalam Kahwin Campur

Islam tidak pernah melarang untuk umatnya berkahwin dengan kaum yang berlainan. Asalkan kedua-duanya beragama Islam maka perkahwinan tersebut adalah sah di sisi syarak. Dewasa ini ramai rakyat Malaysia yang berkahwin dengan kaum atau bangsa yang lain, ini merupakan satu perkembangan yang bagus. Namun begitu terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah :

1. Bagi muslim, hendaklah dipastikan Islam terpelihara. Bahkan dia wajar menunjukkan contoh dan akhlak yang baik kepada pasangannya. Sikap dan teladan yang buruk akan menyebabkan salah faham terhadap Islam.

2. Perkahwinan antara kaum hendaklah tidak mendorong untuk menghapuskan budaya dan nilai positif yang dimiliki oleh sesuatu kaum. Setiap pasangan berhak mengekalkan budaya dan adat resam kaumnya asalkan tidak melanggar hukum syarak. Raikanlah warisan dan budaya pasangannya yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Memaksa seorang Cina menjadi ‘Melayu’ atau Melayu menjadi ‘Cina’ selepas perkahwinan adalah tindakan yang salah dan tidak membawa keharmonian.

3. Perkahwinan antara kaum patut dijadikan platfom untuk saling memahami dan mempelajari nilai-nilai mulia di antara satu sama lain. Dengan cara ini, setiap kaum akan lebih menghormati dan memahami kelebihan dan kekurangan yang ada.

4. Fahaman agama yang sempit seperti menghalang pasangan yang menganut Islam berhubung dan berbuat baik kepada keluarga asalnya, menziarahi mereka atau menafikan nama keluarga seperti menukar nama ‘bapa’ adalah sesuatu yang bukan ajaran Islam. Bahkan nas-nas Islam menyanggahi hal tersebut. Ia adalah ‘kesempitan pemikiran setempat’ yang patut digugurkan dari masyarakat kita. Ia antara penghalang keharmonian kaum dan agama.

5. Perkahwinan campur hendaklah bebas dari anggapan bahawa sesuatu kaum lebih mulia dari kaum yang lain. Sepatutnya tidak boleh ada unsur paksaan kepada pasangan untuk hanya mengamalkan budaya kaum yang lebih “mulia’ itu kononnya.

Jika hal-hal ini dihayati, perkahwinan campur sememangnya boleh membantu mengeratkan hubungan antara kaum di dunia ini.  Jom Kahwin Campur !

Advertisements