11 Punca Berlaku Pendarahan Selepas Hubungan Seks; Jumpa Doktor Segera !

Pendarahan semasa atau selepas hubungan seks boleh disebabkan oleh pelbagai punca. Kanser pangkal rahim adalah salah satu punca yang paling serius. Walau bagaimanapun ia bukan satu-satunya sebab mengapa pendarahan berlaku selepas hubungan kelamin.

Apa juga punca pendarahan yang berkaitan dengan hubungan seks, ia bukan satu gejala yang harus diambil mudah dan anda dinasihatkan berjumpa doktor anda dengan segera jika berlaku pendarahan faraj semasa atau selepas hubungan seks.

Antara punca-punca biasa berlaku pendarahan semasa dan selepas hubungan seks termasuk;

1.  Displasia Serviks

Pendarahan selepas hubungan seks boleh menjadi tanda kepada Displasia Serviks atau juga dikenali sebagai Neoplasia Intraepithelial Serviks (CIN). Displasia Serviks menunjukkan kehadiran sel tidak normal dalam serviks yang boleh menjadi Pre-kanser yang boleh berubah menjadi kanser. Sel-sel ini boleh dikesan dengan membuat ujian pap.

Sel-sel pre-kanser boleh dirawat dengan jayanya dan rawatan awal sangat berkesan bagi mencegah wanita dari mendapat kanser.

2.  Kanser Serviks (Cervical Cancer)

Pendarahan Faraj merupakan gejala utama kanser pangkal rahim. Walaupun kadar kehadiran kanser serviks semakin berkurang disebabkan oleh ujian saringan pap namun ia masih lagi kanser utama kalangan wanita di seluruh dunia.

images

3.  Kanser Rahim (Endometrial Cancer)

Kanser rahim adalah kanser yang terjadi pada lapisan endometrium dan boleh menyebabkan pendarahan selepas seks.

4.  Ektropion Serviks (Cervical ectropion)

Ektropion pangkal rahim adalah satu keadaan di mana lapisan tisu pada bahagian dalam serviks tumbuh di luar permukaan serviks. Tisu ini sangat lembut dan dipenuhi dengan salur darah kecil dan bila disentuh mudah berlaku pendarahan.

Ektropion Serviks adalah bukan sejenis kanser. Ia kerap terjadi kepada wanita hamil dan mereka yang mengambil pil perancang. Namun kebanyakkan wanita tidak memerlukan sebarang rawatan. Tetapi sekiranya ia kerap memberikan masalah seperti keputihan dan pendarahan, ia boleh dibuang dengan menggunakan prosedur ringkas seperti Laser dan Diathermy.

5.  Polip Serviks

Polip pada serviks adalah ketumbuhan bukan kanser dalam serviks. Ia adalah di antara punca paling utama bagi pendarahan selepas hubungan seks. Polip Seviks juga menjadi punca utama pendarahan semasa hamil disebabkan kehadiran hormon yang datang semasa hamil mengalakkan pertumbuhan polip. Gejala lain termasuk pendarahan di tengah bulan, keputihan dan faraj berbau.

6.  Penyakit Kelamin

Wanita yang mempunyai penyakit kelamin seperti jangkitan Chlamydia, Trichomoniasis dan Gonorrhea boleh berdarah selepas persetubuhan.

7.  Faraj Kering

Hormon Estrogen yang diperlukan untuk mempastikan tisu faraj lembab dan elastik. Jika tahap estrogen berkurangan maka pendarahan boleh berlaku. Ia kerap terjadi kepada wanita yang sudah Menopos (Atrophic Vaginitis) dan juga mereka yang menyusukan badan.

8.  Jangkitan Yis

Jangkitan Yis juga boleh dikaitkan dengan pendarahan selepas hubungan seks. Perhatikan juga gejala-gejala lain seperti pedih, gatal dan keluar keputihan seperti keju dari faraj.

9.  Polip Rahim

Polip Rahim adalah ketumbuhan yang terjadi dari tisu endometrium. Ia boleh menyebabkan pendarahan tidak normal termasuk pendarahan selepas hubungan seks.

10. Fibroid

Fibroid Rahim yang tumbuh di dalam rahim atau pangkal rahim boleh menyebabkan berlaku pendarahan selepas hubungan seks.

11. Faraj Luka

Hubungan seks yang lasak boleh menyebabkan luka pada faraj. Selaput dara yang koyak pada pertama kali berhubungan juga boleh menyebabkan pendarahan. Sekiranya pendarahan teruk terjadi seperti keluar darah ketul, elok jumpa doktor untuk memastikan tiada luka besar pada faraj.

Apa yang anda perlu lakukan?

Setiap pendarahan semasa dan selepas hubungan seks adalah tidak normal dan perlukan pemeriksaan segera dari doktor. Jumpa doktor anda hari ini untuk pastikan ia bukan masalah serius seperti kanser.

Sumber

Dr R Juhaidah adalah Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Columbia Asia Puchong

Advertisements